Pages

Wednesday, 17 June 2020

CADANGAN 6

CILI MERAH

SUMBER : GOOGLE

CILI merah atau Capsicum annum adalah tanaman jangka masa singkat yang bernilai tinggi. Penanaman cili merah di negara ini dijalankan menggunakan kaedah konvensional dan sistem fertigasi.

Bagaimanapun, rata-rata petani menggunakan sistem fertigasi berikutan penanaman cili merah menggunakan teknologi ini terbukti dapat meningkatkan hasil dan mempunyai daya maju yang tinggi.

Kos atau modal permulaan tinggi akan diimbangi hasil pengeluaran yang tinggi. Ia juga terbukti berkesan dalam meningkatkan pertumbuhan dan hasil tanaman cili merah sehingga tiga hingga empat kali ganda berbanding kaedah konvensional.

Teknologi ini juga lebih mesra alam berbanding kaedah konvensional dan mengikut amalan pembangunan pertanian lestari, di samping mematuhi agenda pertanian negara.

Fertigasi berasal dari dua perkataan Inggeris iaitu ‘fertilization’ dan ‘irrigation.’ Sistem ini juga satu daripada cabang hidroponik yang antara lainnya ialah seperti Sistem Titis Mikro, Hidroponik Aliran Dalam, Hidroponik Aliran Cetek, Hidroponik statik, Aeroponik dan Pemercik Mikro.

Selain cili, sistem fertigasi juga sangat sesuai bagi tanaman sayur berbuah dan berdaun seperti tomato, timun Jepun, cili merah, terung, melon, cili sayur, strawberi serta pokok hiasan. Ia juga sangat sesuai untuk tanaman yang bernilai tinggi di pasaran.

Tanaman sistem fertigasi bertujuan mengelak serangan penyakit akar disebabkan serangga kulat seperti pythium, fusarium, rhizoton dan penyakit layu bakteria yang berpunca daripada tanah.

Dalam sistem ini, pembajaan dan pengairan dilakukan secara serentak. Sistem fertigasi juga satu kaedah tanaman alternatif bagi mengelakkan penyakit bawaan tanah (soil borne disease) seperti pitium, di samping meningkatkan hasil tanaman. Penyakit bawaan tanah seperti pitium dan fusarium mengurangkan dan merosakkan hasil tanaman.

Pemilihan dan penyediaan tapak projek fertigasi adalah langkah kritikal dalam menentukan kejayaan projek penanaman cili fertigasi. Penanaman cili fertigasi secara terbuka tanpa menggunakan struktur pelindung hujan ialah kaedah alternatif kepada pengusaha yang ingin menggunakan teknologi fertigasi, tetapi mempunyai modal atau peruntukan yang terhad.

Tapak projek yang dipilih hendaklah mempunyai sumber air bersih seperti air kolam, tasik, sungai, mata air, air bawah tanah (tube well) atau sumber lain.

Kualiti air seperti tahap keasidan (pH) perlulah diperiksa terlebih dahulu bagi memastikan air itu boleh digunakan. Nilai pH yang sesuai untuk tanaman cili antara 5.5 hingga 6.5. Nilai pH dapat ditentukan dengan meter pH atau menggunakan kertas litmus.

Penggunaan air paip sangat sesuai dengan mengambil kira penambahan kepada kos utiliti. Tapak projek perlu diratakan supaya aliran air baja yang diberikan kepada pokok adalah sama.

Pemberian kuantiti air baja yang sama kepada setiap pokok adalah penting supaya pokok cili dapat mencapai pembesaran seragam. Selepas selesai kerja menyiapkan tapak, tikar ‘silvershine’ atau ‘weed suppresor’ dibentangkan bagi mengelakkan tapak projek daripada ditumbuhi rumpai.

Bagi penanaman cili, dua jenis polibeg iaitu bantal dan tegak digunakan. Polibeg berwarna hitam bersaiz kira-kira 50 sentimeter (sm) untuk polibeg bantal dan 40cm untuk polibeg tegak adalah disyorkan.

Penggunaan polibeg hitam lebih tahan lasak dan lama berbanding polibeg putih. Sistem fertigasi bagi penanaman cili mempunyai peralatan lengkap seperti tangki air baja dengan muatan 900 gelen, pam air, pengatur masa, penapis, injap dan paip poli yang terbahagi kepada paip utama, paip sekunder dan paip lateral serta mikro tiub berfungsi membawa larutan nutrien ke setiap beg tanaman.

Jarak antara baris yang disyorkan ialah 13sm, manakala jarak antara polibeg ialah empat sm serta disusun sebaris bagi memudahkan kerja pengurusan tanaman. Sistem fertigasi perlu dipasang sebelum anak pokok cili dipindahkan ke dalam polibeg. Sistem pengairan juga boleh diautomasikan dengan pemasangan pengatur masa.

Varieti cili hibrid disarankan bagi penanaman secara fertigasi seperti Kulai dan Cili Bangi, manakala bagi cili padi yan berpotensi pula seperti Cili Bara, Centil dan Full Sky. Bagaimanapun, pemilihan varieti bergantung kepada kehendak dan permintaan pengguna bagi memudahkan aktiviti pemasaran.

No comments:

Post a Comment