Pages

Wednesday, 17 June 2020

CADANGAN 7

BENDI

SUMBER : WIKIPEDIA

Bendi, kacang lendir atau kacang bendir merupakan sejenis buah yang dimakan sebagai sayuran yang banyak ditanam di negara-negara ASEAN yang beriklim panas lembap. Bendi yang ada di Malaysia kini dipercayai berasal dari Afrika Tengah dan banyak di tanam di negeri Johor, Perak, Kelantan serta Pulau Pinang. Di Johor sahaja seluas 390 hektar di tanam pada tahun 2008 iaitu daripada jumlah tersebut seluas 90 hektar ditanam di daerah Muar dengan pengeluaran sebanyak 1,620 metrik tan setahun. Bendi banyak terjual di pasar-pasar termasuk pasar tani, dan pasar sayur. Ia berasal dari sebuah tempat yang kini termasuk dalam Habsyah. Sebelum ini, bendi dikelaskan dalam genus Hibiscus, tapi kini telah ditukar kepada Abelmoschus.

Bendi sesuai ditanam sebagai komoditi komersial dan tanaman keliling rumah dalam pasu atau polibeg sebagai satu program Bumi Hijau.

Bendi dipercayai berasal dari kawasan Asia Tenggara dan telah ditanam merata dunia termasuk Afrika, India dan Brazil. Kebanyakan bendi diguna segar sebagai sayuran (segar mentah, rebus atau goreng) dan dibuat jeruk. Biji bendi boleh di buat serbuk kopi sementara daunnya untuk makanan ruminan dan batangnya diproses jadi serat.

MORFOLOGI

Pokok herba separa keras boleh mencapai ketinggian sehingga 4 m sekiranya tidak dicantas. Batang bulat, berwarna hijau gelap serta tegap, tiada mempunyai banyak percabangan, seluruh bahagian berbulu halus. Daun jenis tunggal, susunan berpilin, bersaiz besar, mempunyai 3, 5 atau 7 cuping, tangkai daun sederhana panjang. Bunga jenis tunggal, saiz sederhana besar, mempunyai kelopak besar berwarna kuning. Buah jenis kapsul, berbentuk silinder yang meruncing di hujungnya, berwarna hijau ketika muda dan bertukar ciklat apabila telah tua, mengandungi banyak biji. Biji sederhana kecil, berbentuk bulat, berwarna putih semasa muda bertukar kelabu keperangan apabila telah tua.

Pokok bendi ini mampu macam pokok Bunga Raya dan Pokok Kapas merupakan tanaman Jangka pendek yang boleh di Ratoon menjadi tanaman tahunan. Pokoknya mampu hidup sehingga ketinggian memlebehi 2 meter jika dibiarkan. Daunnya berbentuk palmenate yang ada jejari serta mempunyai permukaan yang agak kasar. Batangnya agak lembut ketika muda dan keras sederhana keras. Bunga bendi berwarna kuning dengan ukuran 4 - 8 cm garispusat (Lihat foto sebelah) . Pendebungaan dilaksanakan oleh serangga seperti lebah, rama-rama, kumbang, semut dan sebagainya. Buah bendi yang terbentuk dicelah batang dengan dahan berwarna hijau dan apabia dipetik untuk dimasak mengeluarkan sejenis 'Lendir'. Bagaimana pun lendir ini mudah hilang apabila dimasak dengan masukkan jus limau atau cuka kepada mereka yang tidak sukainya.

VARIATI

Terdapat 2 varieti bendi yang popular di Malaysia iaitu varieti buah 5-segi dan 7-segi. Pengguna di Selatan Semenajung Malaysia mengemari jenis 5-segi berbanding di bahagian Utara Semenanjung yang minat Bendi 7-segi (Kedah, Pulau Pinang , Perak dan Perlis).

KHASIAT

KandungaN
Buah Bendi didapati kaya dengan 90% air, 7% karbohidrat, 2% protein dan 1% serat, garam galian dan vitamin, terutamanya vitamin B. Bendi paling kaya dengan kandungan kalsium..

Perubatan 
Buah bendi dikatakan elok untuk perkembangan otak iaitu menguatkan daya memori otak dan kecergasan. Dalam bidang perubatan traditional, biji, akar dan bunga bendi direbus dan diminum, mampu untuk melawaskan pembungan air kecil, mengurangkan bengkak atau radang, mengurangkan masalah susah bersalin, mengubati penyakit gornea dan sifilis. Air rebusannya juga sesuai untuk disapu pada pelbagai jenis kudis dan bisul. Air rebusa yang dicampur gula boleh dibuat sirap ubat dan rawatan sakit kerongkong.Manakala lendir ia boleh digunakan sebagai ubat untuk tujuan menyejukkan dan melembutkan kulit.

Makanan 
Biji bendi yang matang juga mempunyai potensi untuk di proses bagi mendapatkan minyak sayuran yang bermutu tinggi dan juga boleh diproses goreng untuk dijadikan bahan minuman sebagai kopi. Daun muda bendi boleh dimakan sebagai sayuran ulaman manakala daun yang tua boleh diproses sebagai bahan kraftangan yang cantik.

PENANAMAN
Bendi yang dtanam atas tanah mineral yang subur akan memberikan hasil yang tinggi dengan Amalan Pertanian Baik (APB). Kawasan tanaman perlu dibajak 2 minggu sebelum menanam dan dinaikkan batas-batas menggunakan trektor atau manual. Bubuh kapur sebanyak 2 mt/ha ditabur dan kemudian dibubuh baja organik (tahi ayam) dengan kadar 3-5 mt/ha sebelum ditutup dengan plastik perak dengan anggaran keperluan sebanyak 20 gulung sehektar. Plastik perak ini dapat membantu menjaga kelembapan tanah, meningkatkan kehilangan baja, mengawal serangga perosak dan mengawal rumpai.

Penanaman bendi dibuat dengan membubuh 2 biji/lubang dengan jarak tanaman 1 meter secara 3 segi dalam 2 barisan di atas batas. Keperluan benih sebanyak 1 kg/ha atau kepadatan pokok sebanyak 8,000 pokok/ha dan tinggalkan satu pokok setiap lubang penaman dengan membuat penjarangan. Benih kacang bendi mudah didapati daripada pemilihan pokok yang terpilih dengan membiarkan buahnya matang dan kering pada pokok. Penanaman bendi perlukan sistem pengairan yang sesuai sama ada pengairan Titis atau pengairan renjis. Pokok bendi cepat membesar dengan adanya sistem pengairan yang sempurna.

Pembajaan pertama sebanyak 160 kg/ha (20 gm/pk) dijalankan selepas 2 minggu penanaman dengan NPK 12:12:17.2+TE dan buat penyiraman ikut keperluan. Kawalan rumpai perlu dibuat secara kimia atau manual. Pembajaan seterusnya menggunakan baja buah sebanyak 400 kg/ha (50 gm/pk) sehinggan 6 bulan.

PENUAIAN
Bendi akan mula berbuah 50-55 hari lepas ditanam dan mampu hidup sehingga 180 hari. Buah bendi yang matang dituai menggunakan pisau tajam dan dikumpulkan dan digredkan sebelum di masukkan dalam bakul buloh atau bakul plastik. Buah bendi yang segar perlu dihantar kepada pemborong atau kedai dengan segera untuk pastikan kesegarannya. Potensi pengeluaran bendi antara 15-20 mt/ha bergantung kepada pengurusan dan amalan teknologi. Kajian analisa ekonomi di Muar mendapati satu hektar bendi mempu menghasilkan 18,000 kg hasil dan jika di jual pada harga RM 0.80 (Purata harga tempatan) bermakna pendapatan kasar sebanyak RM 14,400/hektar. Kos pengeluaran direkodkan sebanyak RM 7,656/ha bermakna keuntungan bersih diterima sebanyak RM 6,744/ha dengan harga pengeluaran setiap kilogram bendi sebanyak RM 0.43 setiap kilogram dan pulangan setiap satu ringgit dilaburkan sebanyak RM 1.88. Penanaman bendi adalah menguntungkan jika dijalankan dengan baik.

Jangka hayat tanaman bendi lazimya tidak lebih 6 bulan.

PENYAKIT
Antara perosak yang menyerang bendi ialah ulat lipat daun (Sylepta derogata), kepinding buah (Dysderus cingalatus), ulat pengorek buah (Erias fabia) dan siput babi yang dapat dikawal menggunakan racun seperti Carbaryl atau chlorophos atau cypermethrin.

Jenis penyakit pula seperti bintik daun ''Cercospora'' (Cercospora spp) yang boleh dikawal dengan racun Propineb.

CADANGAN 5

PENANAMAN TERUNG PANJANG

SUMBER : WIKIPEDIA

Terung atau brinjal ialah tumbuhan yang tergolong dalam keluarga Solanaceae dan genus Solanum. Ia berasal dari India dan Sri Lanka, dan amat berkait dengan tomato dan ubi kentang. Terung biasanya digunakan sebagai sayur untuk masakan. Nama botaninya Solanum melongena.

Pokok terung ialah pokok saka yang seringnya ditanam sebagai pokok setahun. Ia bertumbuh sehingga 40 - 150 cm (16 - 57 inci) tingginya. Daunnya besar, dengan lobus yang kasar. Ukurannya 10 -20 cm (4-8 inci) panjangnya dan 5 - 10 cm (2-4 inci) lebarnya. Jenis-jenis separa liar adalah lebih besar dan bertumbuh sehingga 225 cm (7 kaki), dengan daun yang melebihi 30 cm (12 inci) panjangnya dan 15 cm (6 inci) panjangnya. Batang pokok seringnya berduri. Warna bunganya antara putih hingga ungu, dengan korola yang memiliki lima lobus. Stamennya berwarna kuning. Buah tepung berisi, dengan diameter yang kurang daripada 3 cm untuk pokok liar, dan lebih besar lagi untuk jenis yang ditanam.

Dari segi botani, terung yang dikelaskan sebagai buah beri mengandungi banyak biji yang kecil dan lembut. Biji itu boleh dimakan tetapi rasanya pahit kerana ia mengandungi alkaloid nikotina. Ini tidaklah hairan kerana terung ialah saudara rapat tembakau.

Terung ialah sayuran yang ditanam untuk dimakan. Saiz terung berbeza-beza antara kecil hingga besar, bergantung kepada kultivarnya. Sayur tersebut mempunyai berbagai-bagai warna, terutamanya warna ungu, hijau, dan putih. Terung berasal dari India.[1][2] Ia ditanam di bahagian selatan dan timur Asia sejak zaman prasejarah tetapi dikenali di dunia Barat tidak lebih awal dari sekitar tahun 1500. Rekod bertulis yang pertama terhadap Pokok Terung dijumpai dalam Qí mín yào shù, sebuah karya pertanian Cina kuno yang disiapkan pada tahun 544.[3] Bilangan nama bahasa Arab dan Afrika Utara yang besar untuk Pokok Terung serta kekurangan nama Yunani dan Rom menunjukkan bahawa pokok ini dibawa masuk ke dunia Barat menerusi kawasan Mediterranean oleh orang Arab pada awal Zaman Pertengahan. Nama saintifiknya, Solanum melongena, berasal daripada istilah Arab abad ke-16 untuk sejenis pokok terung.

Disebabkan hubungan Pokok Terung dengan keluarga Solanaceae, buah terung dianggap pada suatu ketika sebagai beracun. Sedangkan buah terung boleh dimakan tanpa sebarang kesan yang buruk oleh kebanyakan orang, bagi sesetengah orang yang lain, memakan buah terung (serupa dengan memakan buah pokok yang berkait seperti tomato, ubi kentang, dan kapsikum atau cili kembung) boleh menjejaskan kesihatan mereka. Sesetengah buah terung adalah agak pahit dan merengsakan pelapik perut serta mengakibatkan gastritis. Oleh yang demikian, sesetengah sumber, khususnya daripada komuniti kesihatan semula jadi, mengatakan bahawa Pokok Terung dan genus berkait boleh mengakibatkan atau menerukkan artritis dengan ketara dan justera itu, harus dijauhi oleh mereka yang peka terhadapnya.

CADANGAN 6

CILI MERAH

SUMBER : GOOGLE

CILI merah atau Capsicum annum adalah tanaman jangka masa singkat yang bernilai tinggi. Penanaman cili merah di negara ini dijalankan menggunakan kaedah konvensional dan sistem fertigasi.

Bagaimanapun, rata-rata petani menggunakan sistem fertigasi berikutan penanaman cili merah menggunakan teknologi ini terbukti dapat meningkatkan hasil dan mempunyai daya maju yang tinggi.

Kos atau modal permulaan tinggi akan diimbangi hasil pengeluaran yang tinggi. Ia juga terbukti berkesan dalam meningkatkan pertumbuhan dan hasil tanaman cili merah sehingga tiga hingga empat kali ganda berbanding kaedah konvensional.

Teknologi ini juga lebih mesra alam berbanding kaedah konvensional dan mengikut amalan pembangunan pertanian lestari, di samping mematuhi agenda pertanian negara.

Fertigasi berasal dari dua perkataan Inggeris iaitu ‘fertilization’ dan ‘irrigation.’ Sistem ini juga satu daripada cabang hidroponik yang antara lainnya ialah seperti Sistem Titis Mikro, Hidroponik Aliran Dalam, Hidroponik Aliran Cetek, Hidroponik statik, Aeroponik dan Pemercik Mikro.

Selain cili, sistem fertigasi juga sangat sesuai bagi tanaman sayur berbuah dan berdaun seperti tomato, timun Jepun, cili merah, terung, melon, cili sayur, strawberi serta pokok hiasan. Ia juga sangat sesuai untuk tanaman yang bernilai tinggi di pasaran.

Tanaman sistem fertigasi bertujuan mengelak serangan penyakit akar disebabkan serangga kulat seperti pythium, fusarium, rhizoton dan penyakit layu bakteria yang berpunca daripada tanah.

Dalam sistem ini, pembajaan dan pengairan dilakukan secara serentak. Sistem fertigasi juga satu kaedah tanaman alternatif bagi mengelakkan penyakit bawaan tanah (soil borne disease) seperti pitium, di samping meningkatkan hasil tanaman. Penyakit bawaan tanah seperti pitium dan fusarium mengurangkan dan merosakkan hasil tanaman.

Pemilihan dan penyediaan tapak projek fertigasi adalah langkah kritikal dalam menentukan kejayaan projek penanaman cili fertigasi. Penanaman cili fertigasi secara terbuka tanpa menggunakan struktur pelindung hujan ialah kaedah alternatif kepada pengusaha yang ingin menggunakan teknologi fertigasi, tetapi mempunyai modal atau peruntukan yang terhad.

Tapak projek yang dipilih hendaklah mempunyai sumber air bersih seperti air kolam, tasik, sungai, mata air, air bawah tanah (tube well) atau sumber lain.

Kualiti air seperti tahap keasidan (pH) perlulah diperiksa terlebih dahulu bagi memastikan air itu boleh digunakan. Nilai pH yang sesuai untuk tanaman cili antara 5.5 hingga 6.5. Nilai pH dapat ditentukan dengan meter pH atau menggunakan kertas litmus.

Penggunaan air paip sangat sesuai dengan mengambil kira penambahan kepada kos utiliti. Tapak projek perlu diratakan supaya aliran air baja yang diberikan kepada pokok adalah sama.

Pemberian kuantiti air baja yang sama kepada setiap pokok adalah penting supaya pokok cili dapat mencapai pembesaran seragam. Selepas selesai kerja menyiapkan tapak, tikar ‘silvershine’ atau ‘weed suppresor’ dibentangkan bagi mengelakkan tapak projek daripada ditumbuhi rumpai.

Bagi penanaman cili, dua jenis polibeg iaitu bantal dan tegak digunakan. Polibeg berwarna hitam bersaiz kira-kira 50 sentimeter (sm) untuk polibeg bantal dan 40cm untuk polibeg tegak adalah disyorkan.

Penggunaan polibeg hitam lebih tahan lasak dan lama berbanding polibeg putih. Sistem fertigasi bagi penanaman cili mempunyai peralatan lengkap seperti tangki air baja dengan muatan 900 gelen, pam air, pengatur masa, penapis, injap dan paip poli yang terbahagi kepada paip utama, paip sekunder dan paip lateral serta mikro tiub berfungsi membawa larutan nutrien ke setiap beg tanaman.

Jarak antara baris yang disyorkan ialah 13sm, manakala jarak antara polibeg ialah empat sm serta disusun sebaris bagi memudahkan kerja pengurusan tanaman. Sistem fertigasi perlu dipasang sebelum anak pokok cili dipindahkan ke dalam polibeg. Sistem pengairan juga boleh diautomasikan dengan pemasangan pengatur masa.

Varieti cili hibrid disarankan bagi penanaman secara fertigasi seperti Kulai dan Cili Bangi, manakala bagi cili padi yan berpotensi pula seperti Cili Bara, Centil dan Full Sky. Bagaimanapun, pemilihan varieti bergantung kepada kehendak dan permintaan pengguna bagi memudahkan aktiviti pemasaran.

Tuesday, 16 June 2020

CADANGAN 4

PENTERNAKAN AYAM KAMPUNG

SUMBER : WIKIPEDIA

Ayam kampung adalah istilah yang diberikan kepada ayam yang dipelihara secara lepas atau bebas. Kebiasaanya ayam ini dipelihara di kawasan luar bandar atau di kawasan perkampungan. Nama saintifik bagi ayam kampung ini ialah Gallus domesticus adalah dari keturunan ayam hutan merah (Gallus gallus) manakala di sebelah Negara Barat mereka memanggilnya dengan gelaran ayam ternak lepas (free range chicken) atau ayam organik (organic chicken).

Asal Usul Ayam Kampung

Pada asalnya ayam kampung ini telah lama diternak di Malaysia dan negara-negara dunia ketiga lain. Dengan kemasukan pedagang-pedagang luar suatu masa dahulu khususnya pedagang dari Negara China ini yang membawa baka ayam yang dinamakan Canton telah dikacukkan dengan ayam di sini maka lahirlah generasi kedua ayam kampung ini. Pada zaman penjajahan Inggeris di tanah Melayu pula mereka membawa baka dari negara Eropah maka dikacukkan dengan ayam-ayam yang terdapat di sini. Sejak itu lahirlah berbagai gelaran ayam kampung seperti ayam botak, ayam bulu balik, ayam selasih, ayam janggut, ayam laga atau ayam sabung, ayam togel, ayam katik atau ayam Jepun dan bermacam-macam lagi gelaran mengikut tempat dan loghat.

Ciri-ciri Ayam Kampung

Ayam kampung dipelihara di kawasan perkampungan luar bandar dan ada sesetengah penternak menyediakan reban untuk ayam kampung ini tidur pada waktu malamnya. Jika penternak yang tidak menyediakan reban ayam, ayam-ayam kampung ini akan tidur di atas pokok yang renek bagi mengelak dari diserang oleh musang pada waktu malam.

Ayam kampung ini mestilah mempunyai peluang untuk bergerak aktif tanpa perlu dikurung pada waktu siang hari dan pandai mencari makanan tambahan seperti serangga kecil, ulat, belalang dan cacing serta bahan daripada tumbuhan seperti bijirin, buah dan dedaun termasuk dari spesies tumbuhan herba. Kebiasaanya penternak ayam kampung ini akan memberi makanan berupa sisa makanan, lebihan nasi, dedak, jagung, ubi dan sebagainya pada waktu sebelah pagi sebelum ayam-ayam ini berkeliaran mencari makanannya sendiri.

Ayam-ayam kampung ini begitu aktif bergerak dan pergerakan otot yang aktif serta pengambilan makanan berunsur organik menghasilkan daging yang lazat dan berkhasiat tinggi. Ciri-ciri daging yang enak dan berprotein tinggi tanpa kolesterol ini menyebabkan harga ayam kampung di pasaran adalah tinggi berbanding dengan harga ayam daging komersil. Daging ayam kampung ini juga agak liat, pejal dan manis berbanding dengan ayam daging komersil yang dijual di pasaran.

Selaian itu baka ayam kampung ini mempunyai bulu tipis, lebih berat, kaki besar dan panjang, kulit berwarna kuning atau kemerahan-merahan. Ayam kampung KH-B1 diternak secara separa bebas dengan makanan komersil dan makanan berasaskan padi sebagai makanan utama. Ekstrak bawang putih, halia dan gula merah sebagai antibiotik juga rumput napier sebagai penyedap rasa dagingnya. Semburan BIO-TEC dilakukan secara berkala untuk menghapuskan bau yang tidak menyenangkan dan menghapuskan lalat juga sebagai minuman kesihatan kepada ayam. Berat ayam KH-B1 untuk dipasarkan ialah: Betina 1.7kg - 1.9kg, Jantan 2kg - 2.5kg.

Penetasan Dan Pembiakan Ayam Kampung

Telur ayam kampung ini diperolehi dari ayam kampung yang menetas di dalam reban ayam atau di merata tempat yang dikira selamat dari sebarang gangguan haiwan lain. Musuh utama ketika ayam kampung ini bertelur ialah biawak, ular, dan sebagainya yang cuba memakan telur-telur ayam kampung ini. Telur ini memakan masa sehingga 21 hari untuk menetas.

Musuh utama bagi anak-anak ayam kampung yang baru menetas ini ialah pada waktu siang ianya sering diganggu oleh burung helang, kucing dan burung berilau, manakala sebelah malamnya ia sering diganggu oleh musang dan burung hantu. Kejayaan ternakan ayam kampung ini bergantung kepada baka yang berkualiti, makanan, pengurusan dan persekitaran yang baik.

Ayam kampung ini melibatkan perkahwinan secara tabie atau semulajadi iaitu 1 ekor ayam jantan untuk 10 ekor ayam betina dan kebiasaan ibu ayam kampung ini boleh mengeram sehingga 15 biji telur dalam jangkamasa 21 hari.

Jenis-jenis Ayam Kampung

Ayam kampung asli - Ayam yang tidak di kahwin campur dengan mana-mana ayam komersial samaada ayam berwarna, ayam penelur atau ayam pedaging. Ini merupakan baka kahwin silang ayam turun temurun sejak berpuluhan tahun dahulu seperti ayam hutan, ayam sabung dan ayam-ayam pendatang.
Ayam kampung kacuk - Hasil perkahwinan silang antara ayam kampung, samaada dari baka ayam hutan atau sabung dengan ayam penelur atau berwarna untuk tujuan penternakan secara komersial. Ayam kampung kacuk lebih cepat membesar berbanding ayam kampung asli tetapi lebih lambat berbanding ayam berwarna.
Ayam berwarna - Ayam yang dibawa masuk dari luar negara yang mempunyai warna tertentu seperti merah, hitam atau oren. Contoh ayam berwarna seperti ayam sasso dan ayam kabir. Ayam kategori ini membesar paling cepat berbanding ayam kampung asli atau ayam kampung kacuk. Ada pendapat mengatakan Ayam berwarna tidak boleh dikategorikan sebagai ayam kampung kerana tidak mempunyai ciri-ciri seperti ayam kampung yang kebiasaannya ditemui di kampung-kampung di Malaysia

Keistimewaan Ayam Kampung

Ayam kampung mempunyai harga yang tinggi di pasaran.
Ayam kampung ini boleh dibiakkan atau diternak sepanjang tahun.
Dagingnya pejal, manis dan berprotein tinggi.
Ia juga boleh dipelihara secara bebas pada waktu siang tanpa perlu dikawal.
Sisa-sisa makanan di rumah boleh diberikan dan dijadikan makanan ayam.
Ibu ayam kampung ini dapat menetaskan telur dengan sendirinya.
Ibu ayam kampung ini boleh mengawal anak-anaknya dari cuaca sejuk, hujan dan gangguan musuh.

Tanda-Tanda Ayam Berpenyakit

Ayam yang tidak mahu makan atau berkeliaran mencari makanan sendiri.
Lembik, lemah dan tidak aktif.
Pucat serta keluar hingus atau lendir dari hidung
Najisnya cair atau berdarah
Gangguan saraf pada ototnya seperti sayap lemah, kaki lemah, kepala berputar dan sebagainya.

Rujukan

-Panduan memelihara ayam kampung
-Penternakan Ayam Kampung di Malaysia

Monday, 15 June 2020

CADANGAN 3

CILI HIJAU

SUMBER CATATAN : GOOGLE

PANDUAN MULA BERKEBUN

Cara Tanam Cili Padi dalam Pasu / Polibeg di Rumah

Cili antara tanaman yang paling digemari oleh rakyat Malaysia. Cabaran menanam cili ini banyak. Bermula daripada semaian biji sehinggalah menuai buahnya.

Kali ini saya kongsikan kepada pembaca semua cara saya menanam cili di dalam pasu di rumah.

Maklumat Botani
Nama biasa: Cili padi, cabai burung, lada padi
Nama Inggeris: Tabasco chili
Nama saintifik: Capsicum frutescens
Keluarga: Solanaceae

Cili padi adalah tumbuhan saka renek. Kalau anda ingin tahu lebih lanjut cara mudah membaca maklumat botani pokok, rujuk Belajar Istilah Botani Untuk Noob.

Semai Biji Cili
Amalan ladang yang biasa dibuat adalah menyemai cili di dalam talam semaian. Jika kita tiada talam semaian, kita boleh gunakan pasu kecil untuk semaian.

Untuk media semaian, saya biasanya gunakan peatmoss atau pun sabut kelapa hancur (cocopeat). Kedua-dua bahan semaian ini sangat sesuai untuk semaian cili kerana mampu menyerap air yang cukup dan sentiasa lembab.

Biji benih cili memakan masa sekitar 7 hingga 14 hari untuk bercambah. Lagi lama usia benih cili itu, lagi lama ia memakan masa untuk bercambah. Saya pernah menyemai cili geronong dan memakan masa sekitar 30 hari untuk bercambah.

Setelah bercambah, kita boleh terus pindahkan ke dalam pasu kecil setiap satu. Saya jarang tunggu sehingga ada empat atau lima helai daun. Hal ini takut mati dimakan siput.

Untuk campuran tanah pasu kecil itu, saya gunakan campuran tanah atas, sekam bakar, kompos dan sabut kelapa hancur. Kalau anda ingin tahu lebih lanjut boleh baca penerangan saya Kaedah Campuran Tanah Untuk Pasu.

Pindah Dalam Pasu
Apabila bibit cili sudah mempunyai lima hingga tujuh helai daun, sudah tiba masanya untuk kita pindah ke dalam pasu.

Petua agar anak pokok tidak layu selepas pindah adalah dengan pindah di waktu petang selepas asar dan siram dahulu pasu kecil sebelum pindah.

Pokok cili paling bagus ditanam dengan saiz pasu diameter 25 cm dan ketinggian 20 cm ke atas. Untuk polibeg, saiz minimum 16 inchi x 16 inchi ke atas.

Saya biasa gunakan campuran tanah buatan sendiri. Namun begitu, jika anda tiada masa boleh la membeli campuran tanah yang dijual di tapak semaian atau nurseri pokok.

Proses pemindahan ini mengganggu akar pokok cili. Oleh itu kita perlu biarkan pokok cili pulih dengan meletak di tempat redup selama lima hingga 7 hari. Kaedah lain adalah kita membuat jaring hitam di atas pasu.

Penjagaan Cili
Bahagian penjagaan ini yang ramai orang gagal. Saya harap anda membaca dengan teliti. Betul betul teliti dan amalkan.

Pokok cili padi sensitif pada tanah kering. Sebab itu pastikan anda sentiasa menyiram pasu dua kali sehari. Pastikan tanah sentiasa lembab.

Jika risau tidak ada masa untuk menyiram, saya ada menulis panduan membuat siraman automatik. Rujuk, baca dan amalkan.

Pembajaan Cili Padi
Pokok cili paling suka baja organik terutama baja kompos. Walaupun saya suka membuat sendiri kompos, saya yakin ada di antara kita yang tidak ada masa atau kawasan untuk membuat sendiri kompos. Oleh itu boleh la membeli baja organik.

Panduan saya mudah sahaja untuk pembajaan. Pertama, lihat jika ada label panduan pembajaan pada pek baja. Jika tiada, gunakan kaedah pembajaan umum yang saya berikan ini.

Baja pokok cili dua minggu sekali dengan segenggam kompos. Tabur keliling pasu. Pastikan tidak terkena pangkal pokok. Walaupun kompos tidak panas, tetapi kita mesti amalkan sikap berhati-hati.

Pancang Sokongan
Cari kayu, besi atau apa-apa batang yang boleh dijadikan sebagai pancang. Hal ini penting terutama apabila pokok cili mula membesar.

Angin yang kuat mampu mematahkan pokok cili. Apatah lagi apabila pokok cili anda mula berbunga dan berbuah. Berat buah jika tidak disokong dengan pancang mampu mematahkan batang utama cili.

Kawalan Serangga Perosak dan Penyakit
Ketahuilah jika anda pernah menanam cili anda pastikan tidak lari daripada daun cili anda kerinting. Betul tak?

Kalau kita belajar agronomi tumbuhan, tentunya pokok cili ini ada 101 macam perosak dan penyakit.

Saya tidak mahu terangkan sangat pasal itu. Anda akan lihat lalat putih, afid, lalat buah, koya, kutu daun, bahkan siput babi menjadi masalah kepada pokok cili.

Resipi saya untuk kawalan mudah sahaja. Pertama, amalkan dengan menggunakan cuka kayu sebagai semburan mingguan.

Kedua, sembur dengan racun organik buatan sendiri. Hanya guna bawang putih dan cili padi pedas.

Kalau nak lebih, boleh buat sendiri racun minyak mambu. Ini lebih advance bagi yang sukakan cabaran. Tetapi usah risau. Racun bawang putih itu sudah memadai untuk mematikan lalat putih dan afid.

Kalau masih pening lagi berkaitan cili, nah cuba baca Masalah Utama Pokok Cili dan Cara Atasinya.

Petua Buah Banyak
Mengikut kajian oleh MARDI, pokok cili padi mengeluarkan hasil optimum dengan bilangan batang sebanyak lima hingga enam batang sepokok.

Oleh itu, kita pastikan ada lima hingga enam batang sahaja termasuk batang utama pada pokok cili padi kita. Selebihnya kita pangkas dan buang.

Mana-mana batang, daun, bunga dan buah cili yang kita cantas janganlah kita buang terus. Letakkan di sekeliling pasu. Ini adalah amalan pertanian alami bagi mengembalikan nutrien yang telah tumbuhan ambil.

Amalkan ini, insya-Allah pokok cili anda akan sentiasa berbunga tanpa henti.

Kemudian, anda amalkan dengan semburan baja belacan. Saya serius. Baja belacan mampu membuatkan cili berbuah lebat. Tak percaya? Cuba dulu. Nanti dah buat, komen sini balik, okay?

Tuai Buah Cili
Pokok cili padi mengambil masa 65 hingga 75 hari selepas tanam untuk mula mengeluarkan bunga. Manakala apabila putik buah menjadi, ia mengambil masa sekitar 15 hingga 20 hari untuk matang sebelum dituai.

Satu satu pokok cabai burung mampu mengeluarkan hasil sekitar 1-2 kg buah per musim.

Walaupun pokok cili padi tergolong dalam pokok saka, tetap kebanyakan petani menanam pokok cili padi maksimum 11 bulan sahaja. Hal ini kerana selepas itu hasil buah cili tidak begitu cantik.

Namun, jika kita tanam di rumah tiada masalah selagi pokok cili kita masih mengeluarkan hasil. Tuai sahajalah selagi pokok di kandung hayat. Betul tak?

Rumusan
Saya tahu menanam cili ini memang mudah. Menjaganya itu yang tinggi cabaran. Bagi yang cekal sahaja mampu untuk berjaya.

Saya berpesan kepada anda yang baca ini sampai habis. Jangan mengaku kalah. Cuba, cuba dan cuba. Di situlah nikmat dalam berkebun akan timbul. Sungguh.

Moga panduan menanam cili di dalam pasu ini membuka mata dan memberi semangat untuk anda terus berkebun di rumah.

Sunday, 14 June 2020

CADANGAN 2

CATATAN DARI FB PAGE

PENTERNAKAN BURUNG PUYUH 

Penternakan burung puyuh di Malaysia masih berada di tahap kecil-kecilan kerana ramai yang menganggap penternakan ini susah untuk mencapai ke tahap komersil. Kebanyakan penternak burung puyuh masih lagi mengamalkan cara penternakan yang tradisional dan tidak melakukannya secara meluas. Pembekalan anak burung puyuh dilihat adalah sangat terhad. Baka anak burung puyuh diperoleh sama ada dari ladang sendiri atau dibeli dari penternak lain yang mempunyai penternakan baka burung puyuh.

Kebanyakan penternak burung puyuh tempatan menggunakan satu jenis puyuh untuk pengeluaran telur dan daging. Penternak baka induk burung puyuh pula menggunakan sistem pembiakan kaedah pusingan di mana anak menggantikan induk. Apabila stok induk telah tua dan perlu diganti, maka penternak ini akan mengambil telur-telur dari stok ini untuk ditetaskan dan kemudian dijadikan stok induk. Cara penternakan ini telah berjalan dengan begitu lama dan didapati hasil pengeluaran dan prestasi burung puyuh semakin merosot atau tiada perubahan.

 

Langkah/proses penternakan

1. Penternakan puyuh tidak memakan masa yang lama, hanya dari 1 minggu ke 6 minggu sahaja. Selepas enam minggu kita telah mendapat hasil/pulangannya.

2.Kos / Modal Diperlukan untuk:- Kos tetap iaitu Reban/bangsal, peralatan makanan & minuman, alat pemanas, kebersihan dan lain-lain. Kos berulang: – iaitu air, makanan, gas/elektrik, ubatan dan sampingan lain (jika diperlukan) Tidak memerlukan modal yang tinggi.

3. Bangsal/Reban mestilah mempunyai ciri-ciri berikut:- Peredaran udara yang sempurna, saiz yang bersesuaian dengan jumlah yang hendak dipelihara. 1 ekor=20” persegi. Kedudukan reban sebolehnya terletak di tempat yang sunyi (tiada ganguan), terlindung dari matahari terik (arah Timur-Barat), cuaca buruk dan musuh.

4. Puyuh diberi makanan dari jenis ‘Quail Starter mash’ atau Makanan Permulaan Puyuh.

5. Pengurusan sistem pemeliharaan di atas lantai sampah sarap sekali gus masuk sekali gus keluar adalah disyorkan. Dengan sistem ini satu peringkat umur puyuh berada didalam satu bangsal. Dengan sistem ini pengurusan adalah lebih sempurna dengan kawalan penyakit yang baik. Sistem pemeliharaan menggunakan kotak kayu khas, biasanya digunakan oleh penternak tempatan. Anak puyuh diinduk didalam kotak perindukan dan kemudiannya dipindahkan ke kotak pembesaran yang biasanya bertingkat.

 

KEKUATAN PENTERNAKAN BURUNG PUYUH :

* Burung puyuh merupakan sumber makanan yang berkhasiat tinggi. 

* Mampu memberi cita rasa baru kepada pelanggan.

* Burung puyuh mempunyai ciri yang lebih kurang serupa penggunaannya dengan daging ayam.

* Penternakan burung puyuh mampu memberi pulangan modal yang segera.

* Pemeliharaan burung puyuh hanya memerlukan masa yang singkat.

* Penternakan ini tidak memerlukan kawasan yang besar. 

* Terdapat sumber bekalan anak burung puyuh yang berkualiti tinggi di pasaran.

* Galakan dan bantuan daripada kerajaan.

* Permintaan yang tinggi.

KELEMAHAN PENTERNAKAN BURUNG PUYUHh :

* Bekalan anak burung puyuh yang terhad. 

* Bekalan daging proses kadangkala tidak mencukupi. 

* Strategi promosi yang kurang meluas. 

* Sistem pengedaran yang tidak teratur.

* Sistem pemasaran yang terhad. 

* Cara penjualan yang menggunakan gred yang berlainan.

* Penternakan secara kecilan-kecilan dan menggunakan kaedah tradisonal.

* Sistem pengurusan yang kurang efisyen.
 

STRATEGI PEMASARAN BURUNG PUYUH

Terdapat empat faktor penting yang perlu dilakukan oleh penternak di dalam urusan penternakan burung puyuh.

1 ) TEMPAT/LOKASI

* Cari lokasi yang berdekatan dengan kawasan untuk dipasarkan. Contoh: dekat dengan pasar besar atau pasar pagi.

* Lokasi yang dipilih perlulah mempunyai kemudahan air dan elektrik di samping mudah untuk dicari.

* Luas dan mempunyai kemudahan mesin untuk memproses burung puyuh dan peti sejuk beku untuk menyimpan daging puyuh yang telah diproses.
 

2)  PRODUK

Burung puyuh boleh dijual sama ada ketika masih hidup ataupun sudah diproses. Menariknya lagi, telur burung puyuh mendapat permintaan yang amat tinggi daripada pelanggan.

3) HARGA

* Harga yang dijual berbeza mengikut kawasan, pasar, restoran, hotel dan lain-lain. Kos penghantaran juga perlu diambil kira jika melebihi kilometer yang telah ditetapkan.

* Rangkaian pasaran biasanya ialah penternak, pemborong, peruncit dan pengguna. Setiap proses ini akan mempengaruhi harga jualan. Untuk mendapatkan harga yang tinggi, penternak perlu mengurangkan rangkaian ini.

* Harga telur puyuh di pasaran juga amat tinggi kini. Contoh:- 50 biji telur puyuh berharga sekitar RM6.80. 

* Manakala pengeluaran daging pula adalah sampingan daripada penternakan telur puyuh ini. Harga bagi daging puyuh sekitar RM2.40 sehingga ke RM4.50 seekor.
 

4) PROMOSI

* Promosi boleh dilakukan melalui pelbagai cara sama ada melalui media cetak, elektronik mahupun sosial. Promosi ini dilakukan bertujuan untuk memberitahu pelanggan barangan yang hendak dijual.

* Untuk menggalakkan perkembangan industri ternakan puyuh, promosi perlu dijalankan untuk mendedahkan pengguna kepada khasiat dan keenakan daging puyuh. 

* Bantuan dan sokongan

* Jabatan Perkhidmatan Haiwan juga turut mengeluarkan puyuh yang berkualiti dengan jenama PUYUH IKTA yang sedang dipergiatkan pengeluarannya oleh pengusaha puyuh baka pedaging. 

* PUYUH IKTA yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Haiwan dari Institut Kemajuan Ternakan Ayam merupakan puyuh jenis pedaging (jenis Coturnix Japonica). 

* Puyuh yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Haiwan menjalani pembiakan yang terkawal bagi menjamin peningkatan prestasi.

* Pengambilan daging puyuh masih berada di tahap yang rendah kerana pendedahan masyarakat ke atas daging puyuh masih terhad. Langkah-langkah memperkenalkan komoditi ini kepada orang ramai sedang giat dijalankan dan dijangka pengambilan ke atas daging puyuh ini akan meningkat setiap tahun.

Semoga bermanfaat.

#MorfazEnterprise
#Puyuh
#Penternakan
#PertanianAdalahPerniagaan

Sumber : Usahawan.com

Saturday, 13 June 2020

CADANGAN 1

PENTERNAKAN BELUT

SUMBER INFO : FB PAGE

MENTERNAK BELUT SAWAH (Monopterus albus) seperti belut sawah merupakan satu bidang usaha yang agak kurang di usahakan di Malaysia oleh rakyat tempatan. Terdapat beberapa syarikat yang pernah menjalankan ternakan belut secara komersil seperti oleh Syarikat Soon Seng, di Nenasi, Pekan, Pahang dimana syarikat tersebut telah beroperasi lebih 15 tahun bersama dengan ternakan udang. 

Bagaimana pun kini kebanyakkan kolam di lokasi tersebut telah menukar operasi kepada penternakan udang harumau yang beberapa jenis ikan lain. Terdapat banyak jenis belut yang didapti daripada belut didalam air masin, belut air payau dan juga belut air tawar. Didalam laut banya terdapat jenis ikan belut yang kebanyakannya adalah pemangsa. Di negara kita dan beberapa negara Asean yang lain paling popular adalah Belut Sawah atau dipanggil Moa, atau Lindung iitu adalah sejenis ikan anggota suku Synbranchidae (belut), ordo Synbranchiiformes yang mana ia mempunyai nilai ekonomi dan ekologi. 

Ikan ini boleh dimakan dengan cara menggoreng, dimasak dengan sos pedas masam atau dijadikan Sup Belut yang berkhaiat. Apa pun secara ekologi saintis juga telah menjadikan belut sebagai satu indikator pencemaran persekitaran habitat sebab haiwan ini agak mudah beradaptasi. Ketiadaan belut disuatu lokasi menunjukkan telah berlaku kemusnahan persekitaran yang sangat parah telah terjadi. 

Belut adalah predator ganas di kawasan paya dan sawah. Makanannya terdiri daripada hidupan seperti ikan kecil, cacing, krustasea dimana belut juga lazimnya aktif di malam hari. Haiwan ini dapat mengambil oksigen terus dari udara dan mampu hidup berbulan-bulan tanpa air asalkan kelilingnya tetap basah. Penulis blog juga mendapati belut mampu menyerap oksigen melalui bahagian kulitnya. Belut lazimnya akan bersarang di dalam lubang berlumpur dan menunggu mangsa yang melalui didepanya dan memakannya. 

Walaupun didapati dimana  berasal dari daerah tropika tetapi belut sawah diketahui dapat bertahan hidupdimasa musim sejuk dengan suhu sangat rendah. Kombinasi sifat-sifat yang dimiliki belut membuatkannya menjadi haiwan yang dianggap berbahaya bagi persekitaran yang bukan habitatnya. Bagaimana pun kini belut sawah telah dijadikan ternakan yang komersil melalui berbgai kaedah penternakan dan teknologi. Artikel pada petang Jumaat ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi penternakan belut sawah sebagai satu manifestasi penulis blog unggul di Malaysia.

Bagi mengenali ciri-ciri dan sifat belut lebih baik merujuk kepada beberapa jurnal. Biasanya ukuran maksimum belut adalah 1meter walau pun ada yang banyak dimakan paling panjang 40 cm. Belut ini tidak memiliki sirip kecuali sirip ekor yang memanjang (Sila lihat foto disebelah). Bentuk tubuhnya menyerupai tabung panjang dengan tubuh licin dan memang tanpa sisik. Warna belut adalah bermacam warna namun biasanya kecoklatan hingga kelabu bergantung juga kepada persekitarannya. 

Apa yang anda perlu tahu dimana belut merupakan haiwan hermaprodit dimana masa muda ia merupakan belut betina dan bersarang di lubang untuk meletakkan telur-telurnya pada buih-buih di air yang cetek. Kemudian aapabila telurnya menetas maka keluarlah belut muda yang semuanya betina. Dalam usia lebih tua dalam proses kehidupannya berikutnya ia akan menjadi belut jantan. Belut sawah berasal dari Asia Timur dan Asia Tenggara barat bagaimana pun kini belut sawah sekarang sudah ada dipaya di Hawaii, Florida dan Georgia di USA dan dianggap sebagai haiwan invasif. Apa yang pasti dimana belut sawah adalah sejenis ikan yang hidup liar pada air di sawah, kawasan paya atau di pinggiran sungai. Binatang ini menyerupai juga ular. 

Bentuknya panjang dan memiliki tubuh yang licin karena diselimuti oleh lendir. Meski sebahagian orang merasa jijik terhadap jenis ikan ini akan tetapi belut memiliki kandungan protein yang sangat tinggi. Daging belut ini sangat baik jika dierikan makan kepada kanak-kanak disebabkan kandungan proteinnya sangat tinggi memang amat baik untuk masa pertumbuhan dan untuk membangun otak anak kita.

Apa yang berlaku kini harga runcit belut amat baik dipasaran. Harga runcit sekitar RM10.00 - RM15.00 sekilogram bergantung kepada musim, saiz dan juga kesegaran untuk belut hidup. Tinjauan penulis blog baru-baru ini di tepi jalan Rantau Panjang, Kelantan ia dijual dengan harga RM8.00 sekilogram. Di negara jiran Indonesia harga belut sawah diantara R030,000 - Rp50,000 sekilogram bergantung juga kepada kualiti dan musim serta kadar permintaan, Khasiat belut sawah yang kaya dengan zat protin menyababkan semakin ramai orang yang mula mencarinya untuk dimakan. 

Walau pun harga agak tinggi bagi belut yang suadh siap diproses sedia untuk dimasak tetapi permintaan untuk belut adalah terus meningkat. Mencari belut liar dikawasan sawah sudah menjadi semakin sukar dimasa ini. Ini disebabkan oleh kerana aktiviti mrmburu belut secara liar tanpa kawalan  menyebabkan ia semakin pupus terutama jika menggunakan kaedah yang tidak mesra alam. 

Penyebab menurunnya habitat belut di alam atau di sawah juga sebab memburu menggnakan kejutan eletrik, penggunaan baja kimia dan racun kimia berlebihan disawah sehingga keadaan tanah menjadi keras dan belut tidak boleh hidup dan membiak. Belut dikawasan sawah yang komersil semakin kurang apabila makannannya seperti ikan-ikan kecil juga pupus akibat penggunaan bahan kimia berlebihan disawah padi.

Kini telah ada aktiviti dan teknologi menternak belut dimana ia juga telah menjadi salah satu usaha  yang menjanjikan pulangan lebih baik daripada memburunya. Kini ada permintaan pasaran agak yang tinggi untuk produk belut. Pengeluaran belut masih sangat terbatas sebab belum ada teknologi penternak komersil yang produktif dan praktikal untuk ikan jenis belut ini. Permintaan belut dipasaran antarabangsa didakwa mencecah sehingga 300,000 metrik tan setahun dimana hampr separuh adalah untuk pasaran di Jepun sahaja iaitu sebanyak 150,000 metrik tan setahun. 

Selain Jepun didapati permintaan daging belut berlendir ini amat tinggi dibeberapa negara lain seperti Hong Kong, Korea Selatan, China dan Taiwan. Hanya beberapa negara yang ada menternak belut ini secara komersil seperti di Thailand, Indonesia dan juga di Malaysia untuk pasaran eksport. Dilaporkan pada masa ini negara Indonesia masih merupakan pengeluar ikan belut terbesar di dunia sama ada belut yang diburu daripada kawasan semulajadi atau pun belut yang diternak. 

Sebenarnya selain pasaran eksport didapati belut sawah mendapat permintaan baik didalam negara. Apa yang penulis blog hendak kongsi adalah kehebatan khasiat belut. Belut memiliki nilai zat permakanan yang sangat tinggi. Kandungan vitamin A ikan belut sawah mencapai 15,000 IU/100 gram diana nilai ini adalah lebih tinggi dibandingkan dengan vitamin A yang terkandung dalam mentega yang hanya mempunyai sekitar  1,900 IU/100 gram. Kandungan DHA pada belut adalah 1,337 mg/100 gram dimana nilai ini mengalahkan ikan salmon yang hanya mengandungi sekitar 820 mg/100 g juga mengalahkan ikan makarel yang hanya mengandung 748 gram/100gram dagingnya. 

Walau pun ramai geli geleman melihat belut ini tetapi apabila dihidangkan dengan tersusun rapi akan menarik mereka untuk memakannya. Belut memiliki cita rasa yang khas berlemak, lazat, dan berkhasiat dimana ia sesuai dioleh kepada pelbagai jenis masakkan seperti belt goreng, belut sambal, sup belut dan bermacam lagi. 

Meskipun belut adalah haiwan yang termasuk dalam kategori ikan tetapi belut berbeza dengan jenis ikan pada umumnya. Ini disebebkan belut dapat hidup di air yang tidak terlalu banyak seperti lumpur. Belut juga banyak ditemui di paya dan persawahan. Tetapi sekarang dilaporkan semakin susah untuk mencari belut dikawasan sawah kerana ia semakin pupus seperti dilaporkan diatas. Cara Ternak Belut  yang mudah dengan memnyiapkan kolam menternak belut. Kini belut dapat diternak dengan tong drum, kolam kanvas, tong atau kontainer plastik. 

Dua kaedah yang paling sering dilakukan untuk menternak belut adalah menternak didalam tong drum plastik atau didalam kolam kanvas (Sila lihat doto disebelah). Plastik kanvas dan tong drum plastik ini amat sesuai untuk elakkan belut-belut ini keluar sendiri dari kawasan ternakan  kerana permukaan yang licin dan kerana sukar untuk belut menebuknya. Sebaiknya cari tong darum plastik (selalu berwarna biru) dan dicuci hingga benar-benar bersih terutama pada bahagian dalam tong drum. 

Kemudian dibuat lubang persegi panjang pada bahagian atas tong drum dan letakkan drum pada bahagian tanah yang rata dan diberi penyokong  gar tong drum tidak terguling atau pun ia tergolek. Kemudian dibuat saluran pembuangan air dan kekotoran di bawah tong drum. Digalakkan agar semua otng drum ini diletakkan dibawah peneduh supaya belut tidak kepanasan sebab terkena sinaran matahari terus. Dalam pada itu rahsia kejayaan menternak belut adalah pemilihan media yang betul. 

Media yang sesuai adalah diberi lapisan jerami pada dasar drum dengan ketebalan 50 cm dan sebaiknya siram jerami menggunakan mikrrorganisma starter sebanyak 1 liter per drum. Kemudian diberi lapisan kompos setinggi 7 cm dimana kompos sesuai juga diganti dengan baja organik atau najis haiwan atau tanah humus. Lapisan terakhir (paling atas) diberi lumpur kering yang sebelumnya dicampur dengan TSP 5 kg dan diletakkan hingga setinggi lapisan 25 cm. Akhirnya dimasukkan air bersih sedalam 17 cm dan ia dan biarkan selama 14 hari untuk tujuan proses pereputannnya. Elakkan masukkan benih belut sebelum 14 hari keatas.

Kemudian selepas 14 hari benih anak belut baru dimasukkan. Sebaiknya pastikan memilih benih belut yang bagus dan sihat agar meminimaksn kadar kematian belut. Kriteria bibit belut yang sihat dengan memilih benih belut dengan ukuran yang seragam agar semasa menuai kelak akan mendapat saiz belut yang dihasilkan juga seragam atau sama besar. Selain itu ia bertujuan untuk elakkan agar belut tidak saling memangsa belut lain yang ada di kolam. 

Pilih belut yang cergas, lincah dan aktif serta semestinya bebas dari penyakit. Penulis blog meninjau dimana saiz benih belut yang sesuai berukuran sekitar 10-12 cm panjang. Memberi makan belut sawah penting semenjak permulaan penternakan. Makanan belut berupa ikan kecil, berudu (anak katak), isi siput atau cacing yang sebelumnya dicincang terlebih dahulu. Makanan ini perlu diberikan satu kali sehari setiap petang sebanyak 5 - 20% dari jumlah benih belut setiap hari.  

Pada umumnya belut diserang penyakit yang disebabkan oleh organisma seperti virus, bakteria, protozoa atau kulat. Bakteria yang sering menyerang belut adalah Aeromonas sp dan Pseudomonas sp. Belut yang diserang bakteria tersebut tandanya adalah seperti berlaku pendarahan hebat di bahagian bawah kulit, insang dan juga rongga mulut dan akan merebak ke seluruh bahagian tubuh. Kawalan boleh dilakukan dengan memasukkan umbut batang pisang pisang yang telah busuk ke dalam tempat ternak belut. Umbut batang pisang berfungsi sebagai antiseptic semulajadi yang dapat memusnahkan kadar pertumbuhan kedua patogen bakteria tersebut. 

Selain itu umbut batang pisang yang telah busuk juga akan dapat menimbulkan cacing-cacing kecil yang akan menjadi punca makanan semulajadi kepada belut (Sila lihat foto disebelah). Teknologi ini mudah dan murah serta sangat efektif didalam penternakan belut.

Aktiviti menuai belut sawah boleh dijadualkan mengikut program jualan. Apa yang penulis blog pernah tinjau di negara jiran didapati untuk satu tong drum sahaja secara idealnya benih belut yang dapat masuk sebanyak 2 kg dengan ukuran benih tersebut sekitar 11-13 cm. Waktu pengusaha menuai belut dalam masa 3 - 4 bulan selepas masukkan benih. Harga benih belut yang berukuran sekitar panjang 7-12 cm (Besar) sekitar RM18.00 satu bekas yang mengandungi sebanyak 76 - 111 ekor. 

Jika penternak membeli benih belut yang kecil sedikit sekitar RM10.00 satu bekas dengan mempunyai 4 - 6 ekor sahaja. Pemasaran belut diperingkt awal perlu dikenalpasti dimana dan bagaimana. Belut kini telah menjadi salah satu makanan harian yang banyak disukai masyarakat sama ada digorengm dibuat sup atau dijadikan kerepek belut yang popular di Indonesia.  Khasiat belut banyak diperkatakan dimana isi daging belut mengandung protein yang tinggi sehingga baik untuk masa pertumbuhan kanak-kanak. 

Lebih dari itu daging belut juga mengandung vitamin, mineral, kalsium, karbohidrat, fosfor dan lemak sama halnya seperti ikan. Didakwa dar kajian makmal belut mempunyai kalori sebanyak 303 kcal, Lemak (27 gram), Protein (14 gram),  Fosforus (200 mg), Karbohidrat (0), Kalsium (20 mg), Vitamin A (1,600 IU), Air (58 gram), Vitamin B (0.1 mg), Zat besi (20 mg) dan Vitamin C (2 mg) bagi setiao 100 gram yang dianalisa. Aktiviti penternakan belut di Malaysia perlu dilakukan untuk menjanjikan pendapatan baik kepada pengusaha golongan muda. Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...

#MorfazEnterprise 
#Belut
#Perikanan
#PertanianAdalahPerniagaan

Sumber: Anim Agro Tech

Thursday, 11 June 2020

Salam Kenal

Assalamualaikum dan Selamat Pagi

Setelah sekian lama kami berdiam diri dan mengasingkan diri dari dunia perniagaan,akhirnya kami nekad untuk membuat kemunculan kembali.

Untuk kali ini,kami akan menongkah arus yang mana kami akan bermula dari bawah kembali.bermula dgn kosong seterusnya membina DIGIT kearah yang lebih besar.Kali ni kami akan memulakan perniagaan yang berlainan dari dahulu.Jika dahulu kami lebih kepada jualan atau dalam erti kata lain orang tengah,kini kami akan jdi orang pertama.kami akan jadi pengeluar yang mana segala bentuk proses akan dilakukan sendiri oleh kami.

Cadangan bentuk perniagaan kami kali ini akan beralih kepada dunia pertanian dan ternakan.Berpegang pada prinsip PERTANIAN ADALAH SATU PERNIAGAAN,pihak kami akan menceburi bidang yang selama ini tidak pernah terlintas difikiran.Insyaallah sedikit masa lagi kami akan kembali dengan produk-produk tersebut.

Antara cadangan tanaman kami adalah :-
-Cili Hijau Besar
-Cili Padi
-Terung
-Bendi
-Jagung
-Serai

Manakala cadangan ternakan kami pula adalah :-
-Burung Puyuh
-Ayam Kampung
-Ikan Keli 
-Ikan Talapia Merah

Kesemua ini masih lagi berada dalam bentuk cadangan dan belum dimuktamadkan.Diharapkan sebahagian dari cadangan ini dapat dilaksanakan dimasa mendatang.

Sekian.

#adnanagriculture 
#Penternakan
#perikanan 
#tanaman 
#PertanianAdalahPerniagaan