CILI HIJAU
SUMBER CATATAN : GOOGLE
PANDUAN MULA BERKEBUN
Cara Tanam Cili Padi dalam Pasu / Polibeg di Rumah
Cili antara tanaman yang paling digemari oleh rakyat Malaysia. Cabaran menanam cili ini banyak. Bermula daripada semaian biji sehinggalah menuai buahnya.
Kali ini saya kongsikan kepada pembaca semua cara saya menanam cili di dalam pasu di rumah.
Maklumat Botani
Nama biasa: Cili padi, cabai burung, lada padi
Nama Inggeris: Tabasco chili
Nama saintifik: Capsicum frutescens
Keluarga: Solanaceae
Cili padi adalah tumbuhan saka renek. Kalau anda ingin tahu lebih lanjut cara mudah membaca maklumat botani pokok, rujuk Belajar Istilah Botani Untuk Noob.
Semai Biji Cili
Amalan ladang yang biasa dibuat adalah menyemai cili di dalam talam semaian. Jika kita tiada talam semaian, kita boleh gunakan pasu kecil untuk semaian.
Untuk media semaian, saya biasanya gunakan peatmoss atau pun sabut kelapa hancur (cocopeat). Kedua-dua bahan semaian ini sangat sesuai untuk semaian cili kerana mampu menyerap air yang cukup dan sentiasa lembab.
Biji benih cili memakan masa sekitar 7 hingga 14 hari untuk bercambah. Lagi lama usia benih cili itu, lagi lama ia memakan masa untuk bercambah. Saya pernah menyemai cili geronong dan memakan masa sekitar 30 hari untuk bercambah.
Setelah bercambah, kita boleh terus pindahkan ke dalam pasu kecil setiap satu. Saya jarang tunggu sehingga ada empat atau lima helai daun. Hal ini takut mati dimakan siput.
Untuk campuran tanah pasu kecil itu, saya gunakan campuran tanah atas, sekam bakar, kompos dan sabut kelapa hancur. Kalau anda ingin tahu lebih lanjut boleh baca penerangan saya Kaedah Campuran Tanah Untuk Pasu.
Pindah Dalam Pasu
Apabila bibit cili sudah mempunyai lima hingga tujuh helai daun, sudah tiba masanya untuk kita pindah ke dalam pasu.
Petua agar anak pokok tidak layu selepas pindah adalah dengan pindah di waktu petang selepas asar dan siram dahulu pasu kecil sebelum pindah.
Pokok cili paling bagus ditanam dengan saiz pasu diameter 25 cm dan ketinggian 20 cm ke atas. Untuk polibeg, saiz minimum 16 inchi x 16 inchi ke atas.
Saya biasa gunakan campuran tanah buatan sendiri. Namun begitu, jika anda tiada masa boleh la membeli campuran tanah yang dijual di tapak semaian atau nurseri pokok.
Proses pemindahan ini mengganggu akar pokok cili. Oleh itu kita perlu biarkan pokok cili pulih dengan meletak di tempat redup selama lima hingga 7 hari. Kaedah lain adalah kita membuat jaring hitam di atas pasu.
Penjagaan Cili
Bahagian penjagaan ini yang ramai orang gagal. Saya harap anda membaca dengan teliti. Betul betul teliti dan amalkan.
Pokok cili padi sensitif pada tanah kering. Sebab itu pastikan anda sentiasa menyiram pasu dua kali sehari. Pastikan tanah sentiasa lembab.
Jika risau tidak ada masa untuk menyiram, saya ada menulis panduan membuat siraman automatik. Rujuk, baca dan amalkan.
Pembajaan Cili Padi
Pokok cili paling suka baja organik terutama baja kompos. Walaupun saya suka membuat sendiri kompos, saya yakin ada di antara kita yang tidak ada masa atau kawasan untuk membuat sendiri kompos. Oleh itu boleh la membeli baja organik.
Panduan saya mudah sahaja untuk pembajaan. Pertama, lihat jika ada label panduan pembajaan pada pek baja. Jika tiada, gunakan kaedah pembajaan umum yang saya berikan ini.
Baja pokok cili dua minggu sekali dengan segenggam kompos. Tabur keliling pasu. Pastikan tidak terkena pangkal pokok. Walaupun kompos tidak panas, tetapi kita mesti amalkan sikap berhati-hati.
Pancang Sokongan
Cari kayu, besi atau apa-apa batang yang boleh dijadikan sebagai pancang. Hal ini penting terutama apabila pokok cili mula membesar.
Angin yang kuat mampu mematahkan pokok cili. Apatah lagi apabila pokok cili anda mula berbunga dan berbuah. Berat buah jika tidak disokong dengan pancang mampu mematahkan batang utama cili.
Kawalan Serangga Perosak dan Penyakit
Ketahuilah jika anda pernah menanam cili anda pastikan tidak lari daripada daun cili anda kerinting. Betul tak?
Kalau kita belajar agronomi tumbuhan, tentunya pokok cili ini ada 101 macam perosak dan penyakit.
Saya tidak mahu terangkan sangat pasal itu. Anda akan lihat lalat putih, afid, lalat buah, koya, kutu daun, bahkan siput babi menjadi masalah kepada pokok cili.
Resipi saya untuk kawalan mudah sahaja. Pertama, amalkan dengan menggunakan cuka kayu sebagai semburan mingguan.
Kedua, sembur dengan racun organik buatan sendiri. Hanya guna bawang putih dan cili padi pedas.
Kalau nak lebih, boleh buat sendiri racun minyak mambu. Ini lebih advance bagi yang sukakan cabaran. Tetapi usah risau. Racun bawang putih itu sudah memadai untuk mematikan lalat putih dan afid.
Kalau masih pening lagi berkaitan cili, nah cuba baca Masalah Utama Pokok Cili dan Cara Atasinya.
Petua Buah Banyak
Mengikut kajian oleh MARDI, pokok cili padi mengeluarkan hasil optimum dengan bilangan batang sebanyak lima hingga enam batang sepokok.
Oleh itu, kita pastikan ada lima hingga enam batang sahaja termasuk batang utama pada pokok cili padi kita. Selebihnya kita pangkas dan buang.
Mana-mana batang, daun, bunga dan buah cili yang kita cantas janganlah kita buang terus. Letakkan di sekeliling pasu. Ini adalah amalan pertanian alami bagi mengembalikan nutrien yang telah tumbuhan ambil.
Amalkan ini, insya-Allah pokok cili anda akan sentiasa berbunga tanpa henti.
Kemudian, anda amalkan dengan semburan baja belacan. Saya serius. Baja belacan mampu membuatkan cili berbuah lebat. Tak percaya? Cuba dulu. Nanti dah buat, komen sini balik, okay?
Tuai Buah Cili
Pokok cili padi mengambil masa 65 hingga 75 hari selepas tanam untuk mula mengeluarkan bunga. Manakala apabila putik buah menjadi, ia mengambil masa sekitar 15 hingga 20 hari untuk matang sebelum dituai.
Satu satu pokok cabai burung mampu mengeluarkan hasil sekitar 1-2 kg buah per musim.
Walaupun pokok cili padi tergolong dalam pokok saka, tetap kebanyakan petani menanam pokok cili padi maksimum 11 bulan sahaja. Hal ini kerana selepas itu hasil buah cili tidak begitu cantik.
Namun, jika kita tanam di rumah tiada masalah selagi pokok cili kita masih mengeluarkan hasil. Tuai sahajalah selagi pokok di kandung hayat. Betul tak?
Rumusan
Saya tahu menanam cili ini memang mudah. Menjaganya itu yang tinggi cabaran. Bagi yang cekal sahaja mampu untuk berjaya.
Saya berpesan kepada anda yang baca ini sampai habis. Jangan mengaku kalah. Cuba, cuba dan cuba. Di situlah nikmat dalam berkebun akan timbul. Sungguh.
Moga panduan menanam cili di dalam pasu ini membuka mata dan memberi semangat untuk anda terus berkebun di rumah.